Saya percaya bahawa semua
manusia adalah bijak (kecuali orang gila). Asalnya tidak ada yang bodoh. Apa yang
membezakan kita adalah antara ‘sangat bijak’ dan ‘terlajak bijak’.
Kata orang putih;
“The difference between genius and stupidity is that genius has its
limits.”
‘Sangat bijak’ diistilahkan
sebagai genius. Manakala ‘terlajak
bijak’ pula diistilahkan sebagai stupid atau
bodoh. Jadi, istilah ‘bodoh’ itu
bukanlah bermaksud ‘tidak bijak’, sebaliknya bermaksud ‘terlajak bijak’.
Orang genius,
kebijaksanaannya ada had. Manakala orang ‘terlajak bijak’(bodoh) pula, ‘kebijaksanaan’nya
tidak bertepi (infiniti).
Bagi orang yang ‘biasa-biasa’
(bukan genius), adalah amat sukar (malah hampir mustahil) untuk bezakan antara
‘sangat bijak’(genius) dan ‘terlajak bijak’(bodoh). Ini kerana, antara kedua-duanya
ada sempadan. Sempadan itu pula tidak mungkin dapat dicapai melainkan orang itu
sendiri yang menjadi genius. Sempadan itulah had(limit) bagi orang genius, dan pemulaan bagi orang ‘terlajak bijak’(bodoh).
Sebagai contoh;
(Nocolaus Copernicus) |
Semasa Nicolaus Copernicus
(1473-1543) mengatakan bumi mengelilingi matahari, pemikiran beliau ditentang
hebat. Ia dianggap bercanggah dengan rasional akal manusia ‘biasa-biasa’ pada
waktu itu. Dari mata kasar, sangat jelas kita dapat lihat matahari mengelilingi
bumi. Pemikiran Nocolaus juga bercanggah dengan doktrin gereja pada waktu itu yang
menganggap bumi adalah pusat alam semesta. Tidak hairanlah beliau dianggap
sebagai “si dungu yang bakal mengacau
ilmu astronomi”. Selepas kematian beliau, barulah dunia ilmu astronomi mengiktiraf
ke’genius’an beliau. Rupa-rupanya beliau bukanlah bodoh, tetapi seorang ‘genius’
di zaman beliau.
(Albert Einstein. Istilah 'genius' sudah sinonim dengan namanya.) |
Ketika kali pertama Albert
Einstein mengemukakan Theory of
Relativity (1905), beliau dikritik hebat.
Teori beliau yang mengatakan “ruang-masa (spacetime) boleh mengembang dan bersifat relatif” dianggap sesuatu
yang tidak masuk akal. Pengetahuan
‘rasional’ oleh akal ‘biasa-biasa’ pada waktu itu menganggap masa adalah
sesuatu yang malar. Ia tidak berubah-ubah. Penjelasan beliau tidak dapat
difahami termasuk dikalangan ahli saintis yang bijak pandai. Namun, kira-kira
10-15 tahun kemudian, barulah beliau diiktiraf sebagai “individu paling berpengaruh pada abad ke-20”.
Kebijaksanaan beliau dianggap mendahului zaman. Hari ini, perkataan ‘genius’ itu sendiri
sering disinonimkan dengan Albert Einstein.
Dalam peristiwa Israk
Mikraj, Nabi Muhammad s.a.w telah menceritakan peristiwa baginda mengembara
dari Mekah Ke Baitul Maqdis, kemudian naik ke langit, kemudian turun semula ke
bumi dalam masa hanya satu malam. Bayangkan, waktu itu ajaran Islam belum
berkembang. Al-Quran pun belum habis diturunkan. Kebenaran ajaran Islam belum
lagi terserlah dan terbukti kebenarannya. Islam menghalalkan jual beli, dan
mengharamkan riba. Sedangkan masyarakat waktu itu tidak tahu bezakan antara
jual beli dan riba. Mereka belum tahu pengajaran dan kesan buruk ekonomi
berasaskan riba sebagaimana yang dfahami oleh ‘pakar-pakar’ ekonomi hari ini.
Ajaran Islam yang mengatakan “tiada sesiapa pun yang layak diberikan ketaatan
mutlak melainkan Allah” adalah amat asing dari sistem kepercayaan masyarakat
waktu itu. Ciri-ciri kenabian Nabi Muhammad s.a.w juga belum ditunjukkan
sepenuhnya. Ciri-ciri itu hanya diketahui dan berlegar di kalangan ahli kitab
sahaja. Cerita baginda pula adalah amat tidak masuk akal, bertentangan dengan
logik pemikiran ‘waras’ sejak zaman itu hingga sekarang. Sebab itulah sehingga
sekarang juga penganut rasionalisme dan sainstisme menganggap ajaran Islam
adalah ajaran ‘nonsense’. Pendek
kata, cerita baginda s.a.w jauh lebih dongeng dari dongeng!
Namun, pada waktu itu Abu
Bakar r.a terus membenarkan sabdaan baginda. Malah beliau berkata (dengan
maksud lebih kurang),
“kalau rasulullah cerita lebih dari ini pun aku percaya!”
Sedangkan waktu itu Abu
Jahal benar-benar merasakan cerita Israk Mikraj itu bakal menjadi ‘modal
politik’ yang berkesan untuk memusnahkan pengaruh rasulullah s.a.w.
Perhatikanlah.
Bayangkan kita hidup di
zaman itu. Atau bayangkan rasulullah, Abu Bakar dan Abu Jahal hidup di zaman
kita. Bayangkan kita mendengar sendiri perisitiwa Israk Mikraj itu dari mulut
baginda Muhammad s.a.w. Bayangkan kita mendengar sendiri Abu Bakar membenarkan
sabdaan baginda ‘just like that’
tanpa perlu beliau mendapatkan justifikasi dari rasulullah s.a.w.
Maaf cakap, setakat
pemerhatian saya yang berakal cetek ini terhadap ‘cara fikir’ sebahagian
masyarakat kita hari ini, saya rasa Abu Bakar r.a akan digelar ‘jumud’,
‘berpemikiran sempit’ dan ‘walaun’!.
Dengan ‘cara fikir’ masyarakat kita hari ini, berapa ramai agaknya yang akan
terpengaruh dengan ‘modal politik’ Abu Jahal untuk memburukkan Muhammad? Kemungkinan besar, salah seorang manusia yang
terpengaruh itu adalah saya sendiri. Naudzubillah!
Inilah antara sebab saya
rasa ‘trauma’ mendengar lagu “laukana
bainana” (Andai rasulullah masih ada). Sebabnya, jika rasulullah s.a.w masih
ada, saya tidak pasti adakah saya akan bersama baginda atau bersama kumpulan Abu
Jahal! Naudzulbillah!
Apapun, mujurlah persitiwa
itu tidak berlaku di zaman kita. Mujurlah Al-Quran telah lengkap diturunkan dan
kebenaran ajarannya telah dikaji dan sudah terserlah. Tidak kira dalam bidang mana sekalipun,
samada bidang sastera Arab, sejarah, ekonomi, sains malah politik sekali pun,
kita dapat saksikan secara terang lagi bersuluh kebenaran ajaran Islam. Dengan
itu, barulah masyarakat Islam hari ini dapat hargai betapa ‘genius’nya Abu
Bakar r.a. Memang layak benarlah beliau
digelar “As-Siddiq” yang bermaksud “Yang Membenarkan”. Beliau adalah
satu-satunya sahabat nabi yang mendapat ‘anugerah’ yang membawa gelaran itu.
…………...........................
Nicolus Corpunicus, Albert
Einstein dan Abu Bakar As-Siddiq hanyalah beberapa cebisan contoh dari banyak
lagi contoh yang menunjukkan betapa sukar dan mustahilnya bagi masyarakat yang
berpemikiran ‘biasa-biasa’ hendak membezakan antara ‘sangat bijak’ (genius) dan ‘terlajak bijak’(stupid).
Ketiga-tiga contoh ini menunjukkan genius
sering dianggap bodoh pada peringkat
awal.
………………………………
Ketika mood rakyat dikalangan penyokong PR yang begitu marah dan bencikan UMNO, sentimen
terhadap A.B.U (Asal Bukan UMNO-BN) sedang meluap-luap, dalam keadaan meluatnya
mereka terhadap UMNO ibarat ‘berselisih bayang pun tidak sanggup’, dalam
keadaan begitulah PAS mengubah strategi dengan bersikap ‘lunak’ terhadap UMNO.
PAS sedang mempopularkan “budaya
politik matang dan sejahtera”(BPMS). Melalui BPMS, PAS melawan UMNO dalam isu
seperti TTPA dan GST. Dalam masa yang sama, bersama dengan UMNO seperti dalam
isu RUU355 dan Rohingya. PAS sebenarnya masih melawan UMNO, tetapi kali ini
bukan lawan dengan cara kasar, tetapi cara ‘lunak’. Bukan dengan cara serang
dari jauh, tapi dengan cara menyantuni dari dekat. Yang berubah adalah strategi dan pendekatan,
namun soal prinsip iaitu untuk memenangkan Islam tetap tidak berubah. Bagi PAS, apabila
suasana berubah, strategi pun perlu berubah.
Adakah strategi PAS ini genius
atau terlajak bijak (bodoh)?
Bagi Pakatan Harapan (PH)
pula, penubuhan PH adalah satu kebijaksanaan. Kelahiran Parti Amanah Negara
dianggap sebagai “gerakan Islam generasi
ke-2 yang bijak membaca tipu daya musuh”. Bagi mereka, ‘semangat’ PR sebelum ini perlu
diteruskan walaupun suasana telah
berubah. Kewujudan Parti Amanah Negara
itu sendiri telah ‘menyumbang’ kepada perubahan suasana politik hari ini.
Namun, mereka masih mahu ‘copy &
paste’ strategi yang sama. PH adalah ‘copy
& paste’ dari PR. Demonstrasi BERSIH 5 yang mereka anjurkan adalah ‘copy & paste’ dari siri-siri BERSIH
sebelumnya.
Adakah strategi ‘copy & paste’ ini idea yang ‘sangat bijak’(genius) atau
terlajak bijak(bodoh)?
Rata-rata penyokong PH kecewa dengan sikap PAS yang tidak mahu bersama
PH. Dalam strategi ‘copy & paste’,
hanya wujud dua pihak. Iaitulah BN dan PH. Akal bijak mereka hanya dapat
mengenal 2 blok sahaja. Tidak ada blok ke 3. Justeru itu, apabila PAS tidak
mahu bersama PH, akal mereka tidak mampu lagi menempatkan PAS di tempat lain
selain dari BN. Sebab itulah kita jangan hairan jika melihat hari ini mereka
menyerang PAS sama seperti (malah lebih lagi) mereka menyerang BN. Bagi mereka,
jika PAS tidak bersama PH, bermakna PAS bersama BN! Tidak ada pihak ke -3! Begitulah
pemikiran ‘copy & paste’ yang
mereka banggakan.
Akal mereka tidak dapat menggarap
rasional di sebalik tindakan PAS yang bergerak bersendirian. Mereka berkongsi
data pilihanraya yang terdahulu yang menunjukkan PAS kalah teruk apabila bergerak
bersendirian. Bagi mereka, Presiden PAS iaitu TGHA adalah seorang yang tidak
bijak berpolitik. Ahli bawahan PAS pula dianggap jumud, bengap dan walaun.
Benarkah begitu?
Adakah PAS bodoh? Atau sebenarnya PAS genius sehingga pemikiran mereka tidak dapat memahami?
Akal ‘biasa-biasa’ saya
pastinya tidak dapat menjawab persoalan itu. Ini kerana saya perlu menjadi
genius terlebih dahulu untuk dapat melihat sempadan antara genius dan bodoh.
Namun, bagi saya, PAS hanya
mengikuti sebaik-baiknya panduan dan petunjuk yang diturunkan oleh Allah S.W.T.
Bukankah Allah itu Maha Genius (Bijaksana)?
Firman Allah S.W.T (yang
bermaksud);
“Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja
Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan
beroleh berita yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal
dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu - Yang berusaha mendengar
perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan
yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang
diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal
sempurna.” (Az-Zumar 39:17-18)
Wallahu’alam.
Basri DK
21 April 2017
25 Rejab 1438
No comments:
Post a Comment