Saya tertarik dengan satu
kenyataan yang dikeluarkan oleh Ustaz Ahmad Awang (UAA) selaku Penasihat Umum
Parti Amanah Negara yang bertajuk “fahami perbezaan kita”. (Kenyataan penuh disertakan di bawah). Antara
isi penting dari kenyataan beliau adalah;
1. Parti Amanah Negara tidak berbeza (dengan PAS) dari sudut aqidah dan ideologi perjuangan. Perbezaan
hanyalah dari sudut pendekatan politik dan strategi perlaksanaan sahaja. Oleh
itu, tidak wajar berlakunya hukum menghukum hanya kerana perbezaan pendekatan
politik.
2. Ahli Parti Amanah Negara dinasihatkan agar bersabar dengan tohmahan
pihak tertentu serta bersikap lemah lembut dan jangan bersikap kasar seperti
yang disarankan dalam oleh Al-Quran dalam Surah Al-Imran ayat 159.
Walaupun keseluruhan kenyataan ditujukan kepada ahli parti beliau, saya
rasa pengajarannya boleh diambil oleh sesiapa sahaja. Secara peribadi, saya
amat bersetuju bahawa ahli Parti Amanah Negara tidak wajar di’hukum’ dengan
tuduhan berkaitan aqidah. Manakala bagi mereka yang ditohmah dengan tuduhan
yang buruk pula, sebaiknya bersikap bersabar dan berlemah lembut. Jangan pula
tuduhan buruk dibalas dengan tuduhan buruk.
Bagi saya, ini satu nasihat yang baik dan perlu disambut dengan baik.
Selain itu, ada perspektif lain yang menarik perhatian saya. Saya rasa
terpanggil untuk mengulas kenyataan beliau dari 2 perspektif;
PERTAMA: Antara ‘kecil’ dan ‘memperkecil’
UAA mengatakan, “Perbezaan pandangan
kita lebih banyak berkisar tentang pendekatan politik & strategi
pelaksanaan sahaja. Bukannya kita
berbeza aqidah atau ideologi perjuangan.”
Saya percaya perbezaan yang beliau maksudkan adalah melibatkan antara parti
PAS dan Parti Amanah Negara. Saya rasa
pandangan ini adalah selari dengan pandangan presiden PAS iaitu Tuan Guru Dato’
Seri Haji Abdul Hadi Awang (TGHA) yang mengibaratkan perbezaan PAS dan Parti
Amanah Negara adalah seperti pertembungan Saidina Ali dan Muawiyah. Tiada siapa
yang munafik mahupun kafir. Kedua-duanya Islam.
Namun…
Harus diingat, pertembungan Ali dan Muawiyah telah sampai ke tahap ribuan
nyawa terkorban dalam peperangan Siffin. Sering terjadi, perbezaan yang kecil
boleh membawa akibat yang sangat buruk.
Saya bersetuju bahawa pertembungan
pendekatan politik adalah perkara yang kecil. Namun, saya tidak
bersetuju jika kita memperkecilkan hal
berkaitan perbezaan pendekatan politik. Walaupun perbezaan itu kecil, natijahnya
boleh membawa musibah yang besar sehingga melibatkan darah dan nyawa.
Analoginya seperti api. Jika kita
memperkecilkan (memandang remeh) api yang kecil, ia boleh menjadi besar dan membakar
diri.
Dengan perasaan hormat dan kasih kepada UAA, saya merasakan kenyataan
beliau yang bertajuk “fahami perbezaan kita” itu membawa gambaran seolah-olah
beliau “memperkecil api yang kecil”. (iaitu memperkecil soal perbezaan
pendekatan politik). Dengan perasaan
hormat dan kasih kepada rakan-rakan saya yang telah ‘berhijrah’ ke Parti Amanah
Negara, saya dapati tindakan mereka keluar dari PAS atas faktor perbezaan
pendekatan politik sahaja, adalah gambaran
jelas yang meraka memandang kecil dan ringan dalam hal perbezaan pendekatan politik. Kesan
buruknya kita dapat rasa hari ini. Mungkin gambaran yang saya terima itu salah.
Mohon diperbetulkan.
KEDUA: “Bermesyuaratlah” dan “bertawakallah”
Semasa muktamar PAS pada tahun 2015, iaitu sebelum Parti Amanah Negara
ditubuhkan, di kalangan ahli dan pimpinan PAS mempunyai 2 ‘ijtihad’ (pandangan)
yang berbeza dalam pendekatan politik.
Saya ringkaskan seperti berikut;
Pertama: Antaranya PAS patut putus hubungan tahaluf
siasi dengan DAP.
Hujahnya (secara ringkas): DAP telah secara jelas melanggar syarat-syarat
tahaluf siasi. Antaranya DAP telah bertindak menghalang usaha PAS
memperjuangkan hal-ha Islam (antaranya isu RUU355).
Antara tokoh yang mengambil pandangan ini adalah TGHA.
Kedua: Antaranya PAS patut kekalkan
hubungan tahaluf siasi dengan DAP.
Hujahnya (secara ringkas): Keutuhan Pakatan Rakyat perlu diutamakan untuk
mengalahkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang. Isu seperti RUU355
‘wajar’ ditangguhkan dan bukan prioriti sekarang. Antara tokoh yang mengambil
pandangan ini adalah UAA.
Setiap pandangan ada hujah masing-masing dan ada penyokong masing-masing. Jika
hendak dihuraikan dan diperhalusi setiap hujah, akan panjang berjelalah ulasan
ini. Sehingga hari ini, perbahasan tentang
“pendekatan siapa yang lebih baik” masih berlangsung. Masing-masing percaya bahawa pandangan masing-masing adalah lebih menepati pendekatan dan manhaj yang dibawa oleh rasulullah SAW.
“pendekatan siapa yang lebih baik” masih berlangsung. Masing-masing percaya bahawa pandangan masing-masing adalah lebih menepati pendekatan dan manhaj yang dibawa oleh rasulullah SAW.
UAA menyebut, “Biarlah apa orang lain
nak kata, namun kita tetap dengan pendekatan dan manhaj yang ditunjukkan oleh
Rasulullah SAW….”
Sebagaimana beliau yakin dengan pendekatan beliau, begitulah TGHA juga
begitu yakin telah mengikut pendekatan dan manhaj yang ditunjukkan rasulullah
SAW.
Seperti yang disebut oleh UAA, ini adalah perbezaan dari segi pendekatan
politik dan strategi perlaksanaan sahaja.
Pada asalnya, ia tiada kena mengena
dengan soal aqidah, kafir mengkafir dan soal “kuda tunggangan DAP”. Ia juga
tiada kena mengena dengan soal “kena tipu UMNO”, atau “makan dedak RM90 juta”
atau “walaun” atau “ustaz jumud” atau “profesional bengap”.
Ijtihad pertama (PAS putus hubungan
dengan DAP) mungkin salah. Tetapi ia masih ada kebarangkalian untuk betul.
Ijtihad kedua (PAS kekalkan hubungan dengan DAP) mungkin betul. Tetapi ia
masih ada kebarangkalian untuk salah.
Namun, apabila tidak sepakat, maka
realitinya terjadilah ’ijtihad’ ketiga! (iaitu sebahagian mengambil ijtihad
pertama, dan sebahagian yang lain pula mengambil ijtihad kedua)
Hampir pasti ‘ijtihad ketiga’ ini pendekatan yang salah! Impak buruknya kian jelas kelihatan. Sekiranya
keadaan ini berterusan, nampak jelas UMNO dan BN akan dapat mengembalikan
majoriti 2/3 pada PRU akan datang. Kita tidak perlu menjadi ‘pakar’ penganalisa
politik untuk membuat ramalan sebegini.
Dan kemungkinan juga pindaan akta 355 tidak akan dapat diluluskan di
parlimen. Jika inilah keadaannya, bukan sahaja pejuang ijtihad pertama (iaitu
PAS) yang di’tipu’ UMNO, malah pejuang ijtihad kedua (iaitu mereka yang keluar
PAS dan menubuhkan Parti Amanah Negara) lebih teruk kena ‘tipu’! Selain itu,
berlakulah pertembungan sesama gerakan yang sama ideologi. Masing-masing memburukkan
antara satu sama lain. Parti Amanah Negara yang asalnya ingin mengalahkan UMNO,
kini mahu pula menjatuhkan kerajaan pimpinan PAS di Kelantan! Begitulah
besarnya impak yang menimpa kita akibat “memperkecilkan api yang kecil”.
Impaknya bukan sahaja kepada ahli PAS, malah ia juga bakal menimpa Parti Amanah
Negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya!
UAA telah memetik firman Allah S.W.T (yang bermaksud);
"Maka dengan sebab rahmat (yang
melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap
lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah
engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.
Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu),
dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal
keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah
bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah
kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal
kepadaNya."
(QS. Ali 'Imran: Ayat 159)
Setiap manusia ada pandangan masing-masing. Dari sinilah datangnya peranan
mesyuarat untuk mengelakkan berlakunya 'ijtihad' ketiga yang tidak diingini.
Majlis Syura PAS adalah satu bentuk mesyuarat. Muktamar juga adalah satu
bentuk mesyuarat. Berdasarkan keputusan Majlis Syura PAS, dan berdasarkan
keputusan muktamar PAS 2015, serta beberapa perisitwa yang berlaku selepas itu
(seperti PRK Sg Besar dan K.Kangsar), jelas menunjukkan ahli dan perwakilan PAS
mengambil ijtihad atau pandangan pertama (iaitu antaranya PAS batalkan tahaluf
siasi dengan DAP).
Pandangan, strategi dan ijtihad pertama ini mungkin salah walaupun ia
disokong oleh majlis syura PAS, majoriti perwakilan PAS dalam Muktamar 2015,
termasuk ribuan ahli yang masih bersama PAS.
Selagi ijtihad itu tidak menjejaskan aqidah dan merupakan ijtihad berkaitan
pendekatan dan strategi politik sahaja,
maka kita dianjurkan agar patuh dan bertawakal
kepada Allah.Kita yakin pasti ada keberkatan di sebalik ketaatan kepada
sesuatu keputusan mesyuarat.
Namun begitu, ada pihak yang enggan mematuhi keputusan mesyuarat (majlis
syura dan muktamar) serta berkeras dengan ijtihad sendiri. Merekalah yang
bertindak keluar dari PAS dan menubuhkan Parti Amanah Negara. Dari sinilah berlaku ‘ijtihad’ ketiga yang
tidak dirancang.
Yang pasti realiti ‘ijtihad ketiga’ yang berlaku hari ini (iaitu sebahagian
membatalkan tahaluf siasi dengan DAP serta kekal bersama PAS dan sebahagian
yang lain mengekalkan tahaluf siasi dengan DAP serta menubuhkan Parti Amanah
Negara) sudah pasti merupakan ‘ijtihad’ dan ‘strategi’ yang salah yang tidak
diingini oleh PAS mahupun rakan-rakan dalam Parti Amanah Negara.
Inilah realiti yang menyedihkan saya. Saya percaya ahli PAS dan rakan-rakan
dalam Parti Amanah Negara juga berkongsi kesedihan yang sama.
Adakah masih ada ruang untuk kita sama-sama memperbaiki kembali keadaan
ini? Mampukah sirih pulang ke gagang?
Semoga saya dan kita semua terus beristiqomah dan bertawakal kepada Allah.
Basri DK
4 April 2017
7 Rejab 1438H
…………………………..
(Lampiran: Kenyataan Ustaz Ahmad Awang. )
Disalin dari
FAHAMI PERBEZAAN KITA
Perbezaan pandangan kita lebih banyak berkisar tentang pendekatan politik
& strategi pelaksanaan sahaja. Bukannya kita berbeza aqidah atau ideologi
perjuangan. Dasar parti kita adalah Islam. Justeru, perbezaan pandangan politik
tidaklah wajar membawa kepada hukum menghukum, apatah lagi memutuskan
silaturrahim di antara sesama muslim.
Saya menasihatkan ahli AMANAH di semua peringkat agar sentiasa bersabar
dalam menghadapi pelbagai tohmahan dan karenah pihak tertentu dalam menangani
perbezaan pendapat dan pendekatan politik semasa. Biarlah apa orang lain nak
kata, namun kita tetap dengan pendekatan dan manhaj yang ditunjukkan oleh
Rasulullah SAW sesuai dengan perintah Allah seperti firmaNya dalam surah
Al-Imran ayat 159.
Allah SWT berfirman:
"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu
wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka
(sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras
hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka
(mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi
mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan
hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah
bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya."
(QS. Ali 'Imran: Ayat 159)
Kita yakin dengan pendekatan kita ini serta sentiasa bersikap sabar, Allah
akan memberikan kemenangan kepada Islam sebagai Rahmatan lilaalamiin.
Ustaz Ahmad Awang
Penasihat Umum AMANAH
2 April 2017
5 Rejab 1438H
No comments:
Post a Comment