Pages

Friday, 7 April 2017

PAS dan Parti Amanah Negara: Adakah kita berkongsi rasa ‘sakit dan demam’ yang sama?

(Kenangan lalu mengusik jiwa. Pakain boleh diseragamkan, tapi hati lain-lain.)

Segelintir rakan-rakan saya yang amat saya kasihi dan hormati telah memilih untuk ber’hijrah’ bersama Parti Amanah Negara. 

Saya ‘membaca’ pergerakan mereka dan pimpinan mereka. Peringkat awal, saya masih boleh ‘berlapang dada’ dengan tingkah laku mereka.  Ketika mereka menubuhkan ‘wadah baru’ yang bukan bersifat politik, saya berlapang dada. Saya memujuk diri, “baguslah PAS ada banyak NGO. Mana-mana ruang yang PAS tak boleh masuk atas keterbatasannya sebagai parti politik, NGO ini boleh bantu.”

Malah ketika mereka berdaftar sebagai parti politik, saya masih boleh berlapang dada. Hati saya memujuk “sedangkan dengan PKR dan DAP yang berbeza ideologi pun PAS masih boleh berpakat, takkanlah dengan PAN yang berfikrah Islam tidak boleh.”


Hati memujuk lagi, “ Dengan UMNO yang menjadi musuh ‘tegar’ sejak hari pertama PAS dilahirkan pun masih ada ruang-ruang kerjasama, takkanlah dengan PAN tak boleh….

Di peringkat awal, mereka kata penubuhan parti mereka adalah untuk melawan UMNO.

Saya percaya.  Saya berkata, “Mungkin mereka boleh bantu PAS untuk menembusi kubu kuat UMNO seperti di Johor. Atau dengan kebijaksanaan diplomasi, mugkin mereka boleh ambil sedikit kerusi dari DAP”.

Saya faham masalah taadud jamaah (berbilang jamaah) ini ada 2 jenis;
Pertama: Taadud yang menguatkan antara satu sama lain.
Kedua: Taadud yang menjatuhkan antara satu sama lain.  

Waktu itu saya bersangka baik dengan menganggap ini adalah taadud jenis pertama.

Namun, malang seribu kali malang, semakin hari semakin tersasar pula jadinya. Hari ini, tanpa mempedulikan perasaan rakan-rakan yang masih setia bersama PAS, dengan bangganya mereka mengisytiharkan untuk menawan Kelantan yang merupakan kubu kuat PAS!  

Aikk‼?? Kata nak lawan UMNO??‼

Malah, ada sahabat saya yang sudah tergamak mengisytiharkan perang  terhadap PAS! 

Saya faham istilah ‘perang’ yang dimaksudkan adalah perang politik, bukannya perang dari sudut persahabatan dan ukhuwah. Tapi, sudah tidak ada istilah lainkah yang hendak digunakan?

Sungguh menyedihkan….

Kalau ikutkan hati saya, ingin sekali saya berjumpa ”face to face” dengan sahabat-sahabat saya ini lalu bertanya,

Anta ni awat boleh jadi sampai macam ni???”

Namun,  saya tidak mampu berbuat begitu atas faktor jarak (ada di Johor, ada di Kelantan), masa dan prioriti. Ada banyak lagi tugas dan tanggungjawab lain yang saya perlu lakukan. Malah, jika mampu sekali pun, saya tidak pasti samada saya masih sanggup menatap wajah mereka...

Wajah mereka yang saya kenali adalah wajah ‘orang baik-baik’. Kami pernah berusrah bersama, tidur dalam usrah pun bersama. Kami bertamrin bersama, ponteng tamrin pun secara bersama. Dengan istilah lain, “ponteng tamrin secara berjemaah!” Jika sebelum ini saya kenang itu semua sebagai kenangan manis, tapi dalam sekelip mata kini ia menjadi kenangan yang sedih lagi pilu…

Mereka berkata, “TV3 seringkali serang PH. Ini menunjukkan PH adalah musuh UMNO”.

Wahai sahabat-sahabatku yang masih ada kejujuran di hati kalian,

Izinkan saya bertanya beberapa soalan mudah;

1. Selama ini media UMNO sering menggambarkan PAS sebagai parti kafir mengkafir.  Kita sama-sama tahu antara tanda-tanda ‘kubra’ nak dekat pilihanraya adalah munculnya “Amanat Hj Hadi”. Sejak 1980-an lagi (mungkin lebih awal lagi dari itu), UMNO tidak pernah miss mencanangkan isu ini di media setiap kali menjelang pilihanraya. Sekarang, siapa yang ambil alih ‘tugas’ itu?

2.  Kita sama-sama tahu, kerajaan PAS Kelantan acapkali diburukkan dengan isu penyelewengan/rasuah oleh media-media UMNO.(Hakikatnya selepas 20 tahun tiada seorang pun pimpinan PAS Kelantan  yang dibicarakan di mahkamah atas kesalahan rasuah).  Sekarang, siapa yang ambil alih tugas ini?

3. Pemimpin PAS (dan pimpinan pembangkang yang lain) sering diburukkan dengan kaedah “character assassination” (pembunuhan karakter peribadi)  oleh media UMNO. Sekarang, siapa yang ambil alih kaedah ini?  Tuduhan seperti “pemakan dedak RM90juta” datang dari media mana?  Yang terbaru,  “saya ada bukti orang rapat dengan PAS dapat duit 1MDB”. Tuduhan ini datang dari media mana?

4. Cuba analisa status di dinding FB kalian (dan pimpinan kalian). Berapa peratus status yang menghentam PAS? Bandingkan pula berapa peratus status yang menghentam UMNO?

Sekiranya sudah ada ‘media lain’ yang ambil alih kerja UMNO,  mengapa UMNO perlu membazir masa memburukkan PAS di media mereka?

Pada pandangan peribadi saya, tindakan TV3 yang memburuk-memburukkan PH adalah dalil yang menunjukkan PAS ‘tidak cukup’ memburukkan kalian. Sebab itu UMNO perlu ‘tambah’ melalui media mereka.

Saya tahu sahabat-sahabat saya yang bersama PH mempunyai justifikasi tertentu atas tindakan mereka terhadap PAS. Cuma, apa yang saya ingin tahu, waktu kalian begitu ‘seronok’ menimbulkan persepsi buruk terhadap PAS, tidak adakah apa-apa perasaan bersalah  atau rasa ‘ada sesuatu yang tak kena’  di hati-hati kalian?

Ada hadith menyebut (dengan maksud);

Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan saling berempati bagaikan satu tubuh. Jika salah satu anggotanya merasakan sakit maka seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga dan merasakan demam.” (HR. Muslim)

Wahai sahabat-sahabatku yang masih ada rasa jujur dan ikhlas dalam diri,

Bukankah kita sebenarnya merupakan anggota dari satu tubuh yang sama?

Ketahuilah, rakan-rakan kita dalam PAS sedang berasa ‘sakit dan demam’ melihat tingkah laku kalian disamping terpaksa melalui ‘rutin’ menghadapi UMNO sejak ‘azali’ lagi.   

Adakah kalian juga berkongsi rasa ‘sakit dan demam’ yang sama?

Basri DK
7 April 2017

11 Rejab 1438

No comments:

Post a Comment