Pages

Wednesday, 16 October 2013

Dari Senpai untuk Kohai (Siri 7) - Seronoknya hidup sebagai muslim di Jepun


Menempuh kehidupan sebagai muslim di Jepun, memang ada banyak kesukaran.

Semasa belajar di Jepun, saya rasa sukar untuk mengerjakan solat di gakkou (universiti) kerana tiada surau disediakan. Saya perlu solat di tepi tangga.

Jadual kelas juga kadang-kala tidak mengizinkan saya untuk solat. Saya perlu curi-curi keluar kelas dengan cara ‘buat-buat’ nak pergi tandas.

 Ambil wuduk juga sukar. Terutama di musim sejuk. Nak ‘cebok’ pun sukar kerana tiada paip air disediakan di tandas.

Makanan halal tidak mudah didapati dan terhad. Setiap kali beli makanan perlu baca dulu ‘ingrediant’nya. Perlakuan memeriksa ingredients  ini terbawa-bawa hingga saya pulang ke Malaysia.

Surau jauh dari tempat penginapan. Semasa saya di Tsukuba, hanya solat Isyak dan solat Jumaat sahaja diadakan secara berjamaah.

Pastinya syiar Islam juga tidak kelihatan di Jepun. Tiada laungan azan apabila masuk waktu. Masjid tidak banyak. Masjid yang  ada pun, undang-undang melarang masjid-masjid ini melaungkan azan dengan kuat.

Namun begitu, sebenarnya banyak kelebihan hidup sebagai Muslim di Jepun. Sesetengah kelebihan itu saya baru sedar setelah kembali ke tanah air.

Saya kongsikan sedikit sebanyak;

Tuesday, 8 October 2013

Dari Senpai untuk Kohai (siri 6) – TUJUAN KE JEPUN VS TUJUAN KE DUNIA


Dalam SIRI 1, saya telah jelaskan tentang tujuan ke Jepun iaitu untuk dapatkan ijazah dalam masa yang ditetapkan.

 Persoalan seterusnya timbul, “ Apa tujuan dapatkan ijazah?”.

Mungkin kita akan menjawab, “Untuk dapat kerja”.

Jawapan itu juga masih tergantung. Kerana kita masih boleh bertanya, “ Apa tujuan dapat kerja?”

Mungkin kita akan jawab, “Untuk dapat gaji bagus. Untuk sara keluarga. Untuk tingkatkan ekonomi negara.. “
Jawapan itu juga masih tergantung, “Apa tujuan kita dapatkan semua itu?”

Dan begitulah seterusnya.... kita masih boleh bertanya apa tujuan kita dapatkan itu dan ini...

Sehinggalah akhirnya kita akan bertemu kepada soalan yang paling asas iaitu “Apa tujuan kita hidup di dunia ?”

Itulah tujuan  yang lebih asas lagi daripada “tujuan ke Jepun”.  Iaitulah “tujuan ke dunia”. Atau apa yang sering disebut sebagai “tujuan hidup”

Bagi saya, persoalan tujuan hidup perlu jelas. Jika tidak, persoalan “tujuan ke Jepun” juga akan jadi tergantung.

Apakah tujuan hidup kita?

( Gambar hiasan: Manusia sentiasa mencari tujuan hidup. Termasuk orang Jepun)

Thursday, 14 February 2013

Dari Senpai untuk Kohai (Siri 5) - Jangan sampai 'terkencing dalam seluar'


Demi meraih segulung ijazah, tanpa disedari, ada kalangan graduan Jepun yang telah mengabaikan aspek lain dalam kehidupannya. Walaupun telah berjaya menamatkan pengajian, tapi ia ibarat ‘terkencing dalam seluar’.
(Gambar hiasan. Sumber: http://mimiyt.blog65.fc2.com/blog-entry-1472.html)


“Ayah, masa kat sekolah tadi, saya terkencing dalam seluar”, kata Sofi Solehah. Walaupun baru berusia lima tahun, dia petah bercakap.
Si ayah hanya tersenyum lalu bertanya, “ Kenapa nak kencing tak bagitau cikgu?” Mujur si ayah seorang yang penyabar. Kalau tidak, tentu Sofi telah ditengking.
Sofi menjawab, “ Sebab nak warna gambar ”. Ada tugasan yang cikgu beri di kelas iaitu mewarna. Ketika mewarna itulah, dia rasa nak terkencing.
Si ayah berkata, “Lain kali, pergilah ke tandas dulu, baru siapkan mewarna”.
Sofi berwajah masam, tanda tidak bersetuju. Dia berkata, “Tapi saya nak warna gambar dulu”

Begitulah komitednya Sofi mahu menyiapkan tugasan yang diberi, sehingga mengabaikan salah satu keperluan biologinya iaitu kencing.

Demi meraih segulung ijazah, tanpa disedari, ada kalangan graduan Jepun yang telah mengabaikan aspek lain dalam kehidupannya. Walaupun telah berjaya menamatkan pengajian, tapi ia ibarat ‘terkencing dalam seluar’.

Thursday, 7 February 2013

Dari Senpai Untuk Kohai (Siri 4) - Cabaran di Jepun


Niat saya, bukan untuk menakut-nakutkan. Jauh sekali untuk melemahkan semangat.  Tetapi saya harap anda akan lebih bersedia. Pepatah melayu mengatakan, “Sediakan payung sebelum hujan”. Jadi, dalam suasana yang sudah tidak sabar-sabar hendak ke Jepun ini, saya ingin meningatkan agar “sediakan tiket sebelum naik kapal terbang”.
(Gambar hiasan. Sumber: http://jungsketch.blogspot.com/)

Seorang anak bertanya kepada ayahnya yang merupakan graduan RPKJ, “Masa ayah kat Jepun dulu, tak rasa takut ke? ”
Si ayah berkata, “ Nak takut apa pulak? ” Si ayah menjawab soalan dengan soalan.
Giliran si anak pula menjawab, “ Kat sana ada rasaksa. Dia lawan dengan ultraman. Masa diaorang lawan, ayah tak takut kena hempap ke?”

Begitulah gambaran segelintir kanak-kanak kecil tentang cabaran hidup di Jepun.

Tahukah anda, cabaran hidup di Jepun adakalanya lebih menakutkan dan mengerikan berbanding ‘kena hempap rasaksa’? 

Biar saya jelaskan......


Wednesday, 30 January 2013

Dari Senpai Untuk Kohai (Siri 3) – Tips Belajar Di Jepun

"Namun, ada satu tips yang bagi saya IBU kepada segala tips. Sekiranya dapat diamalkan tips ini, tips-tips lain akan mudah dilaksanakan, malah anda akan mampu melahirkan tips sendiri." 

(Gambar hiasan: Dicedok dari Group Facebook ALEPS)

Antara tips belajar di Jepun;
“Banyakkan tengok tv di Jepun untuk cepat belajar Nihonggo (Bahasa Jepun)”
“Banyakkan bergaul dengan nihonjin (orang Jepun)”
“Selalu makan natto! Berkhasiat untuk kepala otak”.
“Buat persiapan sebelum kelas.”
“kalau tak paham apa sensei tulis, salin je dulu. Lepas kelas boleh tanya kawan”
“Pagi-pagi jangan lupa mandi dan gosok gigi walau suhu -20 ”.
“Pastikan di kelas duduk barisan depan”.


 

Wednesday, 23 January 2013

Dari Senpai Untuk Kohai (Siri 2) – Cita-cita kerjaya

"Kita sudah biasa mendengar jenama HONDA, TOYOTA, YAMAHA, SUZUKI. Semua jenama itu diambil bersempena nama pengasasnya. Mengapa tidak kita bercita-cita agar suatu hari nanti akan muncul televisyen jenama HARUN, mesin basuh jenama DOLAH, komputer jenama AZIZ?" 

(Soubetsukai 1998, Another You. Salah seorang daripada mereka sedang mencipta nama sebagai artis)

Orang putih kata “All things are created twice”. Pertama di minda, kedua barulah muncul menjadi kenyataan. Jika kita tahu apa yang perlu dicapai, ia menjadi sebahagian dari motivasi kita semasa belajar di Jepun nanti.

Memang setiap orang ada bermacam cita-cita. Bagi saya, walau apa pun cita-cita itu, pastikan ia bukan hanya terhad untuk mencapai kepentingan peribadi,  lebih jauh dari itu adalah untuk kepentingan pembangunan negara dan agama Islam yang kita cintai. Apatah lagi jika anda pelajar tajaan kerajaan. Guna wang kerajaan bermakna guna wang rakyat. Pastikan cita-cita kita itu nanti memberi pulangan juga kepada kerajaan dan rakyat.

Dalam konteks yang lebih luas lagi, kita ke Jepun dengan rezeki dan keizinan dari Allah s.w.t. Oleh itu, pastikan apa sahaja yang diusaha dan dicitakan mengikut kehendak Allah yang Maha Pemberi Rezeki. 

Ada banyak cara untuk kita menyumbang kepada pembangunan negara.  Antaranya;

Friday, 18 January 2013

Dari Senpai untuk Kohai (Siri 1) –Tujuan ke Jepun




Pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah kepada adik-adik yang telah lulus peperiksaan dan berjaya sampai ke Jepun. Tulisan ini saya tujukan khas kepada adik-adik yang bakal ke Jepun dan sedang belajar di Jepun. Saya kongsikan juga kepada mereka yang telah pulang dari Jepun, dengan harapan mendapat berkongsi pengalaman dan pengajaran. Saya tujukan juga kepada semua yang sudi membaca tulisan ini, kerana walaupun ditujukan khas kepada golongan tertentu, tetapi pengajarannya mudah-mudahan dapat diambil oleh semua yang mahu mengambil pengajaran.

Mengapa saya mahu berkongsi sesuatu kepada kohai?

Sebabnya mudah. Saya hanya menjalankan naluri semula jadi manusia yang suka berkongsi perkara bermakna bagi mereka,dan dirasakan bermakna kepada orang yang ingin dikongsi. Misalnya,  kita cenderung untuk beritahu kawan-kawan jika jumpa restoran yang sedap dan murah. Ini kerana restoran yang sedap dan murah itu bermakna bagi kita dan kita sangka bermakna bagi orang lain.

Apakah ‘makna’ yang ingin saya kongsikan? Jawapannya ialah sebuah ‘pengajaran’. 

Saturday, 12 January 2013

Berlumba jangan sampai lalai



Tujuan hidup kita adalah menghambakan diri kepada Allah. Namun, kita telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan sebanyak-banyaknya habuan dunia. Kita berlumba mengumpul harta benda, kita berlumba merebut pangkat, kita berlumba menjadi pelajar paling baik keputusan peperiksaan, kita berlumba mendapat pengaruh, kita berlumba berebut kuasa. 

Semua perkara itu asalnya tidak salah. Tetapi yang salah ialah LALAI. 

Kelalaian ini berlarutan hinggalah kita masuk ke kubur.

Nauzubillah.

Janganlah kita bersikap begitu. Kita akan benar-benar mengetahui akibatnya semasa hendak mati nanti.

Sekali lagi diingatkan, janganlah bersikap begitu. Kita akan benar-benar mengetahui akibatnya di akhirat nanti.

Kalaulah kita mengetahui dengan sebenar-benar yakin,
Orang yang derhaka akan benar-benar melihat neraka yang marak menjulang,
Mereka akan dapat melihat dengan mata sendiri dengan penglihatan yang amat meyakinkan.

Kita juga akan ditanya tentang segala nikmat yang telah kita nikmati semasa hidup.

Oleh itu, janganlah biarkan hidup kita dilalaikan dengan urusan dunia yang sementara.

Rujukan: Al-Quran [102:1-8]

Tuesday, 8 January 2013

Rajin


Mustahil bagi seorang muslim, seorang hamba Allah, yang mengucap dua kalimah syahadah, yang memahami tuntutan kalimah itu, yang redha Islam sebagai agama anutannya, akan berkata ,

 “ Bosan. Tak tahu nak buat apa”.

Apabila sudah faham dengan Islam, faham dengan tuntutan menegakkan agama Allah ini dalam diri, keluarga masyarakat dan dunia, maka hidup ini dirasakan cukup penuh dan sarat dengan agenda. Agenda untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini adalah agenda yang besar. Terlalu banyak yang perlu dilakukan oleh seorang muslim. Sehinggakan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyebut,

“ Tanggungjawab kita lebih banyak dari masa yang ada”.


Oleh itu, jika seorang muslim yang memahami agenda seorang muslim itu terasa ‘kekosongan’ dalam diri pada sesuatu masa, sebenarnya apa yang dialami bukan kerana tidak ada agenda.

“Sebenarnya dia bukan kekosongan agenda, tetapi kekosongan semangat.” Itulah andaian ringkas saya.

Dia mempunyai banyak homework, tetapi terasa malas.

Dia mempunyai banyak buku yang hendak dia baca, tetapi terasa malas.

Dia mempunyai banyak idea hendak ditulis, tetapi terasa malas.

Dia perlu menghadiri program-program yang telah diatur, tetapi terasa malas.

Kemalasannya itu menyebabkan dirinya "tak tahu nak buat apa". 

Dirinya terasa lesu. Ibarat kereta yang kehabisan petrol. Tidak bergerak. Semua yang hendak dilaksanakan terasa berat untuk dilaksanakan. Sangat berat. Atau dalam bahasa mudah, kekosongan yang dialami adalah datang dari sifat malas.

Kenapa orang mukmin itu merasa malas? Mana perginya motivasi diri?  

Sedangkan dia yakin adanya syurga dan neraka. Dia yakin akan janji Tuhan yang akan membalas perbuatan buruk dengan azab, dan perbuatan kebaikan dengan pahala dan syurga.  Dia yakin akan ajal yang bakal menjemput. Dia yakin bahawa dia wajib menjalankan agenda-agenda yang kian terbengkalai. Dia yakin yang dia tidak boleh berlengah, tidak boleh culas.

Tapi, kenapa masih malas?

Maaf, saya tidak ada jawapannya.

Namun, sifat malas atau merasa berat untuk berjuang ini telah ditegur dalam Al-Quran;

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: “Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah” kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan akhirat) di akhirat hanyalah sedikit. [9:38]

Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. [9:41]

Barangkali ini adalah ujian Allah untuk menguji sejauh mana keyakinan dan keimanan kita;

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.[3:142]

Diri yang dhaif ini ingin mensarankan sesuatu kepada dirimu yang malas.

1. Doa
Amalkan doa dari mathurat ini:


Di saat dirimu dirundung malas, bacalah doa ini sebanyak-banyaknya. Sebaiknya amalkan secara konsisten setiap pagi dan petang bersama bacaan mathurat. Saya sarankan download software mathurat di Play Store. Antara perisian yang saya syorkan ialah M-Mathurat.

Allah yang turunkan sifat malas, resah dan gelisah ini. Maka, jika Allah menghendaki, akan dihilangkanNya.

Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesutu.[6:17]

Allah boleh menghilangkan kemudaratan kepada kita, maka berdoalah kepadaNya.

Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu....”[40:60]

2.  Solat dan sabar

 Janganlah harapkan pertolongan Allah datang secara tiba-tiba.  Mungkin ia akan datang lambat. Waktu ini, hanya perlu yakin Allah sedang mendengar permintaan kita. Tetap berdoa, mengerjakan solat dan sabar sebagai satu elemen penting dalam memohon pertolongan darinya.

Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’. (iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahwa mereka akan kembali kepada-Nya. [2:45]

3. Berimanlah kepada Allah

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.[64:11]

4. Bertakwalah kepada Allah.

…..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.[65:2-3]

Dengan sabar yang diadun takwa, apapun musibah yang melanda, pasti akhirnya ‘happy ending’.

..... Maka bersabarlah; sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. [11:49]

5. Mujahadah melawan sifat malas

Tiada jalan lain selain dari lawan, lawan dan lawan. Anggaplah ini sebahagian dari jihad menentang nafsu malasmu.

Garanglah dengan diri sendiri, kerana engkau sedang berperang!


Maaf andai jawapan ini 'membosan'kan.

Semoga Allah membantu kita.

Wallahualam.

Wednesday, 2 January 2013

Neraka Saqar


Al-Quran telah memberi peringatan kepada kita tentang neraka saqar.

Neraka saqar adalah neraka yang sangat dasyat. Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, tetapi dalam masa yang sama tidak membiarkannya binasa terus. Kerana kalau sudah binasa terus, hilanglah rasa sakit itu. Ia terus menerus membakar kulit manusia. Di situlah tempat yang paling menyakitkan!

Yakinilah bahawa neraka Saqar adalah malapetaka yang amat besar. Ia merupakan peringatan kepada manusia.

Orang yang diberi nikmat syurga, bertanya kepada ahli neraka, “Apakah yang menyebab kamu masuk ke dalam neraka Saqar?”

Antara jawapan penduduk neraka, 

“Kami tidak mengerjakan solat”.

“Kami tidak memberi makan kepada orang-orang miskin”.

“Kami selalu memperkatakan perkara yang salah, bersama orang yang memperkatakannya.”

“Dan kami sentiasa menafikan hari akhirat, sehinggalah hari akhirat itu benar-benar tiba”.

Bukankah semasa di dunia, mereka telah diberi peringatan? Mengapa mereka melarikan diri dari peringatan? Seperti mereka sekawan keldai liar yang melarikan diri dari singa!

Mereka mahu supaya Al-Quran dan peringatan itu datang langsung dari langit kepada mereka.
Sedangkan, kalau kemahuan mereka dituruti sekali pun, mereka tetap ingkar. Ini kerana mereka tidak lagi takut kepada hari akhirat.

Oleh itu, sesiapa yang mahu, dapatlah ia mengambil peringatan daripada Al-Quran dengan izin Allah. Iaitu Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya, dan Dialah juga yang berhak memberi keampunan kepada orang-orang yang beriman dan taat.

Rujukan: Al-Quran [74:39-56]